AYER KEROH, 29 April – PLANMalaysia Melaka telah menerima kunjungan daripada delegasi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Perak (PLANMalaysia Perak) dalam satu lawatan kerja yang diketuai oleh YBrs. TPr Gs. Mohammed Zamri bin Mohd. Zain, Pengarah PLANMalaysia Perak. Ketibaan delegasi telah disambut oleh YBrs. Encik Syukri bin Yahaya, Timbalan Pengarah (Pembangunan) PLANMalaysia Melaka, bersama pegawai-pegawai kanan jabatan.
Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara kedua-dua agensi dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan dalam penyediaan Rancangan Struktur Negeri. Untuk makluman, PLANMalaysia Perak pada masa ini sedang menyediakan Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 (Kajian Semula). Dalam pada itu, PLANMalaysia Melaka telah berkongsi hala tuju pembangunan negeri sebagaimana yang digariskan dalam Rancangan Struktur Negeri Melaka 2035. Wakil daripada Pejabat Projek Zon Selatan (PPZS), PLANMalaysia juga berkongsi mengenai inisiatif pembangunan mampan dan peranan PLANMalaysia dalam menyokong agenda pembangunan negeri.
Di akhir lawatan kerja ini, delegasi telah dibawa melawat ke Zon Ekonomi Persisiran Selat Melaka (SMWEZ) iaitu salah satu inisiatif pembangunan ekonomi berskala besar di negeri Melaka. Taklimat ringkas telah diberikan oleh wakil Perbadanan SMWEZ yang menyampaikan gambaran menyeluruh mengenai pelan pembangunan zon tersebut.
PLANMalaysia Melaka merakamkan ucapan terima kasih kepada PLANMalaysia Perak atas kesudian mengadakan lawatan kerja ini dan berharap jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak akan terus diperkukuhkan pada masa akan datang.